6 WASIAT SAIDINA UMAR

6 WASIAT SAIDINA UMAR :

1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

4. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

6. Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.

Saturday 17 March 2012

Pada satu malam...

Bismillah.

Sollu 'alan Nabi.


Pada satu malam, Laila terasa amat lapar. Perutnya berbunyi minta diisi. Diajaknya suami untuk makan Mi Bandung di kedai makan berhampiran rumah mereka. Sejurus sampai, mereka memilih tempat duduk di bahagian luar kedai. Biar jauh dari orang ramai dan lebih 'romantik'.

Sementara menunggu pesanan mereka sampai, terlihat kelibat seorang lelaki yang memegang beberapa keping CD sedang mempromosi jualannya dari satu meja ke meja yang lain. Laila memerhati dari jauh. Ada perasaan berbelah bahagi di dalam hati. Hampir semua orang yang didekati lelaki tadi tidak mahu membeli CD jualannya. Perasaan kasihan, sekaligus perasaan ragu-ragu untuk membantu lelaki tadi bersarang dalam hati. Entah kenapa, bila orang minta derma, minta sedekah, jual barang yang kita tak perlu tapi kita tahu orang itu perlukan duit (makcik jual kerepek misalnya), maka pada masa itulah hati jadi 'cinta dunia' a.k.a kedekut. Walhal bukannya habis pun duit kita bila beri pada mereka.

Daripada Abu Hurairah r. a berkata : " Seorang lelaki telah datang kepada Rasulullah s. a. w lalu bertanya : Ya Rasulullah! Sedekah manakah yang lebih besar pahalanya? Nabi menjawab : Sedekah yang engkau berikan, sedangkan engkau pada masa itu masih sihat dan engkau bakhil (merasa sayang untuk mendermakan harta), engkau takut menjadi fakir dan engkau berangan-angan untuk menjadi lebih kaya. Maka janganlah engkau menangguhkan sedekah sehingga apabila ruh sampai di kerongkong, lalu ketika itu baru engkau berkata : Untuk si polan harta ini, untuk si polan harta ini, pada hal harta engkau itu memang akan dimiliki (diwarisi) oleh orang lain. Riwayat Bukhari dan Muslim. 

Lelaki tadi mula menghampiri Laila dan suami.

 "Assalamualaikum Kak.." Ternyata lelaki itu telah agak berumur. Namun sekadar panggilan hormat dia memanggil Laila 'Akak'.

Laila dan suami menjawab salamnya. "Ni kak.. saya jual CD Al-Quran..ada macam-macam ni..akak pilih je mana akak nak..harga murah ni kak.."

"Apasal orang ni jual kat aku je ni..suami aku ade kat sebelah dia tak nampak ke.." gerutu Laila dalam hati.
Lelaki itu seolah-olah hanya ingin menjual CD nya kepada Laila. Suami di sebelah hanya mendiamkan diri. Memerhatikan isteri.

Laila mula berkira-kira untuk membeli. "Beli je lah. Kesian pulak.." Walaupun perasaan sayang untuk keluarkan duit masih menebal, Laila perlahan-lahan mengambil dompetnya.

"Akak nak yang mana, surah-surah lazim ke, yang Sheikh baca sampai nangis-nangis ke..atau yang ni.."
Dihulurkannya CD bacaan Al-Quran oleh Syeikh Masyari Rasyid Al-Afaasi.

"Ha..yang ni lah.." Laila memilih.

"Ok kak..akak pilih sesuai dengan jiwa akak.." Transaksi dibuat. Doa diucap oleh lelaki tadi supaya Laila dan suami diberkati Allah, lalu dia berlalu pergi.

"Abang kenapa senyap je tadi.." soal Laila.

"Abang nak tengok reaksi sayang.."

"Ape nye..?"

"Tadi sayang beli CD tu sebab apa?"

"Sebab kesian.."

"Habis ada dua tiga orang yang lain jual CD jugak tadi sayang tak kesian ke?"

"Hmm.." Laila tak tahu nak jawab apa. Memang tadi ada perempuan yang jual CD yang sama di meja berdekatan mereka.

"Ingat, apa-apa pun kita buat, biar kerana Allah.." balas suami. Ringkas.

Laila terdiam. "Aku tak ikhlas ke tadi? Aku terpaksa beli sebab kesian je ke tadi?" ..."Bukan sebab memang ikhlas nak sedekah kerana Allah?"....Sedekah satu bab, ikhlas pun satu hal juga. Dua-dua perlu diusahakan.

Allahuakbar. Laila belajar beberapa hal penting.

Hari yang lain, Laila terasa gelisah. Teringat olehnya tentang CD Al-Quran yang dibeli tempoh hari, lalu memasangnya. Ayat-ayat Allah yang didengar dengan izin Allah tenyata mampu melunakkan hati. Dia menjadi rindu dengan Allah. Laila terfikir, "Ya Allah, betapa Agungnya Engkau yang mentarbiah hambaMu dengan penuh hikmah.."

Rupa-rupanya, rasa laparnya pada malam itu, pembelian CD, mendengar firman Allah, semuanya adalah hikmah buat Laila. Allah mengajarnya supaya ikhlas, bersedekah, dan mencintai Kalamullah. Firman Allah:


"Kamu sekali-kali tak akan sampai kepada kebaktian (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, sesungguhnya Allah mengetahuinya." (QS. Ali Imran:92)


Pesanan pada diri dan semua:
1. Beramallah dengan Al-Quran dan Hadis.

2.Keluarkanlah sedikit rezeki yang Allah titipkan buat kita buat mereka yang memerlukan. Hakikatnya segala harta benda kita bukanlah milik mutlak kita, tetapi milik Allah.

3. Ikhlaskan segala amal semata-mata kerana Allah.

Hidup ini medan ujian, hanya orang yang berjuang mengikut landasan Islam akan berjaya di sisiNya. InsyaAllah. Let's support each other with doa and motivation. :)











No comments:

Post a Comment