6 WASIAT SAIDINA UMAR

6 WASIAT SAIDINA UMAR :

1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

4. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

6. Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.

Tuesday 26 June 2012

Just be THANKFUL

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sollu 'alan Nabi.

Yasmin merupakan salah seorang yang menjadi ahli (member) kepada sebuah butik rangkaian produk kecantikan. Sewaktu tarikh hari lahirnya semakin hampir, dia mendapat notis supaya pergi ke butik tersebut untuk mengambil 'birthday gift'. Dengan hati berbunga-bunga, dia pun pergi dengan harapan untuk mendapat sesuatu yang best.

Apabila sampai, dia telah diberi hadiah berupa baucer bernilai RM20 dari penjaga butik. Yasmin terdiam. Dalam hati secara automatik dia berkata, "Baucer? U r not going to give me some of your lotions, skincare products, or anything??.."

Namun Yasmin tetap tersenyum dan beredar dengan rasa sedikit hampa.

Dalam perjalanan pulang, dia terfikir..betapa tak bersyukurnya dia. Suka hati butik tu la nak bagi apa..dia punya hak..aku hanya terima..baucer RM 20 banyak jugak tu..

Moral of the story : Macam tu jugak la kita dengan Allah, Allah Maha Kuasa. Dia Tuhan kita, terserah pada Dia nak bagi kita apa..Allah bukan macam manusia yang serba kekurangan..Dia tak perlukan kita, tak berkurang pun Kekuasaan Dia kalau kita tak puji Dia..Tapi Allah itu Maha Mengetahui, tahu apa yang terbaik untuk kita..hanya jiwa yang berserah diri kepada Allah merasa cukup dan tenang dengan Allah..hingga melahirkan rasa syukur dan redha..Hati yang bersyukur pasti akan sangat bahagia, sebab dia menghargai segala pemberian tanpa banyak soal..Kita biasanya tak puas hati sebab tak dapat apa yang kita nak..sedangkan Allah Maha Memberi, Maha Pengasih, pasti paling tahu apa yang patut kita dapat..yakinlah pada Allah, Tuhanmu dan Tuhanku..Tuhan seluruh alam..Allah akan tambahkan nikmat bagi hambaNya yang bersyukur...

Everything and anything, just be THANKFUL. :)




Saturday 23 June 2012

Be Positive

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sollu 'alan Nabi.

Positif. Senang cakap. Tapi sangat susah nak jadi positif. Positif ; sifat unggul Rasulullah s.a.w. Sebab apa? Sebab baginda berserah diri 100% kepada Allah. Yakin sepenuh jiwa. Bismillahi tawakkaltu 'Allallahi.

Alhamdulillah, Allah izinkan jumpa dengan blog yang explain tentang macam mana nak latih jiwa jadi positif, dengan kaedah berkomunikasi dengan Allah all the time. No mind-chat. Sebab selalunya manusia sentiasa bercakap dalam fikiran dia. Dan selalunya bila jadi macam tu kita akan terdorong untuk buat keputusan yang salah/ prasangka/ fikiran negatif...tak serahkan urusan kita pada Allah. Proses komunikasi dengan Allah bertujuan untuk kita lepaskan ke'aku'an diri kita, lebih yakin dan pasrah kepada Allah, dekatkan hati kepada Allah, dan melatih diri untuk mengikut kehendak Allah dengan berserah diri. Dalam erti kata lain, melatih diri untuk sedar yang kita hanya hamba Allah dan mengakui keTuhanan Allah (Tauhid).





Allah sentiasa bersama dengan hamba yang mengingati Dia. Jom kita praktis komunikasi dengan Allah, in every situation and every time. Boleh doa, cakap dengan Allah, mengadu dengan Allah, zikir..apa-apa je yang kita rasa, luahkan pada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. InsyaAllah, kita akan rasa lebih dekat dengan Allah, yakin pada Allah, dan natijahnya membentuk jiwa hamba yang mengenal Tuhannya dan sekaligus positif. Aamiin.

Klik sini untuk ilmu komunikasi dengan Allah.

Download e-book percuma Jiwa Positif Hidup BerTuhan sebanyak 7 volume dekat page tu.. Moga Allah merahmati kita semua...


Sunday 17 June 2012

Sifat-sifat Isteri Yang Dijanjikan Syurga

Bismillahirrahmaanirrahiim


Sollu 'alan Nabi.



Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa’: 34)
Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa’di r.h. berkata: 
"Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman:Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya.(Taisir, hal. 177)
Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), ‘abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]
Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami’ no. 660, 661)



Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:
1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.
Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.
Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya. Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalamIsyratun Nisa no. 257.)
2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.
3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma’ bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".
Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)
4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.
5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta’ (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.
6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.
7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)
Sumber: http://yuitsumuni.com/2010/01/13/ciri-ciri-isteri-solehah-adakah-anda-memilikinya/ 


Ya Allah, izinkan kami menjadi isteri yang solehah . . . Amin . . .



Wednesday 13 June 2012

24 Peringatan Buat Wanita

Bismillahirrahmaanirrahiim.


Sollu 'alan Nabi.



1. Urusan pertama yang ditanyakan pada hari akhirat nanti ialah mengenai solat dan mengenai urusan suaminya (apakah ia menjalankan kewajipannya atau tidak).

2. Apabila wanita itu lari dari rumah suaminya maka tidak diterima solatnya sehingga kembali ia dan menghulurkan tangannya kepada suaminya (meminta ampun).

3. Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi agar mereka tercium bau harumnya maka dia adalah perempuan zina dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina.

4. Sebaik-baik wanita ialah tinggal di rumah, tidak keluar kecuali atas urusan yang mustahak. Wanita yang keluar rumah akan dipesonakan oleh iblis. Sabda Nabi s.a.w., “Perempuan itu aurat, maka apabila ia keluar mendongak syaitan memandang akan dia.”

5. Haram bagi wanita melihat lelaki sebagaimana lelaki haram melihat wanita yang halal nikah (kecuali dalam urusan menuntut ilmu dan berjual beli).

6. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ketika Rasulullah s.a.w. bersama isteri-isterinya (Ummu Salamah r.ha. dan Maimunah r.ha.), datang seorang sahabat yang buta matanya (Ibnu Maktum) Rasulullah s.a.w. menyuruh isteri-isterinya masuk ke dalam. Bertanya Ummu Salamah, “Bukankah orang itu tidak dapat melihat kami, Ya Rasulullah ?” Rasulullah s.a.w. menjawab, “Bukankah kamu dapat melihatnya.”

7. Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaan berhias (bukan untuk suami dan mahramnya) adalah seumpama gelap-gelita pada hari Qiamat tiada Nur baginya.

8. Mana-mana wanita yang bermasam muka menyebabkan tersinggung suaminya, maka wanita itu dimurkai Allah sehingga ia bermanis muka dan tersenyum mesra pada suaminya.

9. Tidak boleh seorang isteri mengerjakan puasa sunat kalau suaminya ada di rumah serta tidak mengizinkan dia berpuasa.

10. Hendaklah isteri berpuas hati (redha) dengan suaminya yang telah dijodohkan oleh Allah, sama ada miskin atau kaya.

11. Perempuan tidak berhak keluar dari rumahnya melainkan jika terpaksa(kerana sesuatu urusan yang mustahak) dan ia juga tidak berhak melalui jalan lalu lalang melainkan di tepi-tepinya.

12. Apabila memanggil lelaki akan isterinya ke tempat tidur tetapi ditolaknya hingga marahlah suaminya, akan tidurlah wanita itu dalam laknat oleh malaikat ke pagi.

13. Wanita-wanita yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat malaikat juga laknat manusia sekalian.

14. Tidak harus seseorang manusia sujud kepada manusia dan jika diharuskan, maka akan aku perintahkan semua kaum wanita sujud pada suaminya kerana membesarkan dan memuliakan hak-hak suami mereka.

15. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat ke belakang lehernya.

16. “Aku lihat api neraka, tidak pernah aku lihat seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya. Telah aku saksikan kebanyakan ahli neraka ialah wanita.” Rasulullah s.a.w. ditanyai, “Mengapa demikian Ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah s.a.w. “Wanita mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ehsannya. Jika engkau berbuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia masih belum rasa berpuas hati dan cukup.”

17. “Kebanyakan ahli neraka adalah terdiri dari kaum wanita.” Maka menangislah mereka dan bertanya salah seorang daripada mereka, “Mengapa terjadi demikian, adakah kerana mereka berzina atau membunuh anak atau kafir?” Jawab Nabi s.a.w. “Tidak, mereka ini ialah mereka yang tidak bersyukur akan nikmat suaminya, sesungguhnya tiap-tiap seorang kamu adalah dalam nikmat suaminya.”

18. Keadaan wanita 10 kali ganda seorang lelaki di dalam neraka dan 2 kali ganda seorang lelaki di dalam syurga.

19. “Kebanyakan wanita itu adalah isi neraka dan kayu api.” Hazrat Aishah bertanya, “Mengapa wahai Rasulullah s.a.w.?” Jawab Rasulullah s.a.w.:

i. Kerana kebanyakan perempuan itu tidak sabar dalam menghadapi kesusahan, kesakitan dan cubaan seperti kesakitan melahirkan anak, mendidik anak-anak dan melayani suami serta melakukan kerja-kerja rumah.
ii. Tiada memuji (bersyukur) di atas kemurahan Allah yang didatangkan melalui suaminya. (Jarang terdapat orang perempuan yang mahu mengucapkan terima kasih di atas pemberian suaminya.)
iii. Sering mengkufurkan (ingkar) terhadap nikmat Allah. (Contohnya: Apabila berlaku sesuatu pertengkaran ada isteri yang berkata sudah 10 tahun kahwin dengan awak tidak ada apa-apa pun.)
iv. Gemar bercakap perkara yang sia-sia yang berdosa. (Contohnya: Bercakap mengenai perabot-perabot rumah yang tidak perlu dan mengumpat.)
v. Kurang akal dan kurang ilmu pengetahuannya dalam agama iaitu mereka sering tertipu atau terpengaruh dengan pujuk rayu lelaki,rakan-rakan, alam sekeliling dan suasana serta kemewahan lahiriah.

20. Dari Ali bin Abi Talib r.a.: Aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tiga golongan dari umatku akan mengisi neraka jahanam selama 7 kali umur dunia. Mereka itu adalah:”

a. Orang yang gemuk tapi kurus
b. Orang yang berpakaian tetapi telanjang
c. Orang yang alim tapi jahil
* Adapun yang gemuk tapi kurus itu ialah wanita yang sihat tubuh badannya tetapi kurang ibadat.
* Orang yang berpakaian tetapi telanjang ialah wanita yang cukup pakaiannya tetapi tidak taat agama.
* Orang yang alim tapi jahil ialah ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan peribadi.

21. Asma’ binti Karizah Fazari r.ha. diriwayatkan telah berkata kepada puterinya pada hari perkahwinan anaknya itu, “Wahai anakku, kini engkau akan keluar dari sarang di mana engkau dibesarkan. Engkau akan berpindah ke sebuah rumah dan hamparan yang belum engkau kenali. Itulah suami mu. Jadilah engkau tanah bagi suami mu (taat perintahnya) dan ia akan menjadi langit bagi mu (tempat bernaung). Jadilah engkau sebagai lantai supaya ia dapat menjadi tiangnya. Jangan engkau bebani dia dengan berbagai kesukaran kerana itu akan memungkinkan ia meninggalkan mu. Kalau ia mendekatimu, dekatilah ia dan jika ia menjauhi mu maka jauhilah ia dengan baik. Peliharalah benar-benar suami mu itu akan hidungnya, pendengarannya, matanya dan lain-lain. Janganlah pula ia mendengar melainkan yang enak dan janganlah ia melihat melainkan yang indah sahaja pada dirimu.

22. Pesanan Luqman kepada anaknya,
 “Sepanjang hidupku, aku hanya memilih 8 kalimah dari pusaka para Nabi yang lalu iaitu:”

a. Apabila engkau sedang solat kepada Allah SWT maka jagalah baik-baik fikiran mu.
b. Apabila engkau berada di rumah orang lain, maka jagalah pandangan mu.
c. Apabila engkau berada di tengah-tengah majlis maka jagalah lidah mu.
d. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan maka jagalah perangai mu.
e. Ingat kepada Allah SWT
f. Lupakan budi baik mu pada orang lain.
g. Lupakan semua kesalahan orang lain terhadap mu.
h. Ingat kepada mati.

23. Perkara-perkara yang menjadikan wanita itu derhaka kepada suaminya seperti tersebut di dalam kitab Muhimmah:

a. Menghalang suami dari bersuka-suka dengan dirinya sama ada untuk jimak atau menyentuh mana-mana bahagian tubuhnya.
b. Keluar rumah tanpa izin suami sama ada ketika suami ada di rumah atau pun tidak.
c. Keluar rumah kerana belajar ilmu yang bukan ilmu Fardhu Ain.
Dibolehkan keluar untuk belajar ilmu Fardhu Ain jika suaminya tidak mampu mengajar.
d. Enggan berpindah (berhijrah) bersama suaminya.
e. Mengunci pintu, tidak membenarkan suami masuk ke rumah ketika suami ingin masuk.
f. Memasam muka ketika berhadapan dengan suami.
g. Minta talak.
h. Berpaling atau membelakangi suami ketika bercakap.
i. Menyakiti hati suami sama ada dengan perkataan atau perbuatan.
j. Meninggalkan tempat tidur tanpa izin.
k. Membenarkan orang lain masuk ke dalam rumah sedangkan ia tidak disukai oleh suaminya.


24. Wajib bagi wanita:

a. Mengekalkan malu pada suaminya.
b. Merendahkan (menundukkan) mata ketika berpandangan.
c. Mengikut kata-kata dan suruhannya.
d. Dengar dan diam ketika suami berkata-kata.
e. Berdiri menyambut kedatangannya.
f. Berdiri menghantar pemergiannya.
g. Hadir bersamanya ketika masuk tidur.
h. Memakai bau-bauan yang harum untuk suaminya.
i. Membersihkan dan menghilangkan bau mulut untuk suaminya.
j. Berhias ketika hadirnya dan tinggalkan hiasan ketika tiadanya.
k. Tiada khianat ketika tiada suaminya.
l. Memuliakan keluarga suaminya.
m. Memandang pemberian suaminya yang kecil sebagai besar dan berharga.
n. Ketahuilah, syurga dan neraka bagi seorang wanita itu bergantung pada redha atau tidaknya suami padanya.

Monday 11 June 2012

Mandi Hadas Besar

Bismillahirrahmaanirrahiim.


Sollu 'alan Nabi.


Disediakan oleh : Ummu Abdillah
Mandi hadas besar merupakan salah satu cabang dalam bab taharah (bersuci).Taharah pula merupakan syarat sahnya solat. Oleh itu, menjadi kewajipan bagi setiap Muslim dan Muslimah untuk mengetahui hukum-hakam dan tatacara mandi hadas besar seperti yang telah ditetapkan oleh syara’ kerana ia mempengaruhi sah atau tidaknya ibadah seseorang itu. Setiap Muslim dan Muslimah itu tidak perlu rasa malu dalam mempelajari hal-ehwal mandi hadas besar ini kerana ia merupakan urusan agama yang menjamin kesahihan ibadah seseorang. Tulisan ini memuatkan beberapa perkara penting mengenai mandi hadas besar iaitu :
  • Dalil kewajipan mandi yang disebabkan oleh hadas besar
  • Perkara-perkara yang mewajibkan mandi
  • Tatacara mandi janabah
  • Tatacara mandi kerana haid dan nifas

Dalil kewajipan mandi yang disebabkan oleh hadas besar
            Allah Ta’ala berkata : (وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا), maksudnya : ‘…jika kamu itu dalam keadaan janabah (hadas besar) maka bersucilah…’ (al-Maidah : 6). Manakala hadis pula, terdapat banyak riwayat yang menyebut tentang kewajipan ini, antaranya ialah : Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Jika seorang suami duduk di antara kedua kaki dan tangan isterinya, kemudian menggaulinya, maka wajiblah mandi’[i].
Perkara-perkara yang mewajibkan mandi
1- Keluar mani dengan syahwat, baik dalam keadaan jaga ataupun tidur.
            Sebelum diterangkan lebih lanjut mengenai point ini, seseorang itu perlu mengetahui apakah sifat-sifat mani. Air mani lelaki yang sihat mempunyai beberapa sifat:
  • Berwarna putih dan pekat
  • Keluar dengan cara memancut
  • Keluar dengan rasa syahwat
  • Selepas keluarnya mani, dia berasa kepenatan
  • Baunya seperti bau pucuk tamar, seakan-akan bau tepung
  • Jika air mani itu kering, baunya seperti bau telur
Jika salah satu sifat ini wujud pada cecair yang keluar, maka cukuplah untuk dihukumkan cecair itu sebagai air mani. Tidak semestinya semua sifat ini mesti wujud untuk dikatakan ia adalah mani[ii].
            Sifat mani perempuan pula :
  • Berwarna kekuningan dan cair (tidak likat)
  • Baunya sama dengan bau mani lelaki
  • Keluar dengan rasa syahwat
Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Sesungguhnya air mani lelaki itu kental berwarna putih, sedangkan air mani wanita itu cair berwarna kuning…[iii]
            Keluarnya air mani itu merupakan perkara yang mewajibkan mandi, tidak kira samada ia keluar kerana persetubuhan, mimpi, atau onani. Dalilnyaialah apa yang telah disabdakan oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Air itu dari air’[iv]Maksud hadis : Keluarnya air mani merupakan salah satu sebab wajibnya mandi.
Hadis seterusnya ialah apa diriwayatkan oleh Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha: Ummu Sulaim radhiyallahu ‘anha, isteri kepada Abu Talhah, berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah itu tidak malu terhadap kebenaran, adakah seorang wanita itu wajib mandi jika dia mimpi (iaitu : dia melihat seperti apa yang dilihat oleh lelaki dalam tidur seperti gambaran persetubuhan)? Bagindashallallahu ‘alayhi wa sallam menjawab : Ya, jika dia melihat adanya air mani (setelah bangun)[v].
Catatan
  • Jika seseorang bermimpi jima’ (bersetubuh) dan pada esok paginya dia tidak menemui bekas air mani, maka tidak wajib mandi. Ini kerana mimpi persetubuhan semata-mata bukanlah perkara yang mewajibkan mandi, melainkan ia disertai keluarnya air mani.
  • Jika ia terjaga dari tidur dan mendapati adanya bekas air mani sedangkan ia tidak ingat bermimpi, maka dia wajib mandi. Dalil : Dari Aisyah radhiyallahu ‘anha : Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ditanya tentang seorang lelaki yang mendapati air mani, tetapi dia tidak ingat bermimpi, Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam menjawab : Dia mesti mandi. Beliau shallallahu ‘alayhi wa sallam juga ditanya tentang lelaki yang bermimpi tetapi tidak mendapati air mani, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : Dia tidak wajib mandi[vi].
  • Jika dia terjaga dari tidur dan mendapati kesan air, dan dia yakin bahawa itu adalah mazi, maka dia tidak wajib mandi tetapi cukup sekadar membasuh kemaluannya.
  • Jika dia terjaga dari tidur dan mendapati kesan air tetapi dia tidak pasti adakah ianya mani atau mazi, maka dalam hal ini jika dia bermain-main dengan pasangannya atau berfikir mengenai sesuatu, maka selalunya ia adalah mazi. Seseorang itu hanya perlu membasuh anggota badannya dan bajunya yang terkena mazi. Tetapi jika sebelum dia tidur tidak berlaku mana-mana perkara yang menyebabkan keluarnya mazi, maka di sini dia wajib mandi sebagai langkah berjaga-jaga[vii].
2- Bertemunya dua khitan (alat kelamin) / berlakunya persetubuhan
            Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anha, Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallamberkata : ‘Jika seorang suami telah duduk di antara kedua kaki dan tangan isterinya, kemudian menggaulinya, maka wajiblah mandi’[viii]. Dan dalam lafaz riwayat Muslim ditambah : ‘Walaupun tidak keluar air mani’.
            Sebuah hadis lagi menyebut, seseorang bertanya kepada Rasulullahshallallahu ‘alayhi wa sallam tentang seorang suami yang mendatangi isterinya, kemudian air maninya tidak keluar, apakah ia wajib mandi? Ketika itu Aisyahradhiyallahu ‘anha sedang duduk, lalu Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallamberkata : ‘Sesungguhnya aku melakukannya dengan wanita ini, lalu kami mandi’[ix].
            Daripada dua hadis di atas, ia menunjukkan bahawa wajibnya mandi sekiranya kemaluan suami masuk ke dalam kemaluan isteri walaupun tidak keluar air mani.
Catatan
  • Jika kemaluan suami menyentuh kemaluan isteri tanpa dimasukkan, maka tidak wajib mandi kecuali jika keluar mani.
  • Sekiranya air mani suami keluar dari kemaluan isteri selepas isteri mandi, maka isteri tidak wajib mandi semula, tetapi dia wajib berwudhu’.
            Berkata al-Zuhri rahimahullah mengenai lelaki dan wanita yang keluar sesuatu  dari kemaluan mereka selepas mandi, keduanya harus mencuci kemaluan dan berwudhu’[x].
3- Berhenti darah haid dan nifas
            Apabila seorang wanita telah suci dari haid, maka dia wajib mandi sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Jika haid datang maka tinggalkanlah solat, dan jika ia pergi maka mandilah dan lakukanlah solat’[xi].
            Adapun nifas, ia adalah seperti haid menurut ijma’.
Catatan
  • Sekiranya seorang wanita itu dalam keadaan janabah kerana melakukan hubungan intim, kemudian datang dia didatangi haid sebelum dia mandi kerana janabah, maka dia tidak wajib mandi untuk menghilangkan janabahnya. Tetapi dia mandi ketika telah selesai haidnya. Ini telah disebut oleh al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’[xii].
  • Sekiranya seorang wanita itu melahirkan anak (al-wiladah) tetapi tidak disertai dengan darah nifas, maka dia tidak wajib mandi. Ini kerana tiada satu nas pun dari al-Quran atau Sunnah, baik hadis sahih mahupun dhaif, yang menyebut mengenai perkara ini. Sekiranya tiada dalil, maka sesuatu ibadah itu tidak dipertanggungjawabkan ke atas seorang Muslim. Ini disebut oleh al-Imam Ibn Qudamah rahimahullahdalam kitabnya al-Mughni[xiii]. Walaubagaimana pun, sangat jarang wanita melahirkan anak tanpa disertai darah.
4- Ketika seorang kafir masuk Islam
            Diriwayatkan dari Qais bin ‘Ashim, bahawa beliau masuk Islam, lalu Nabishallallahu ‘alayhi wa sallam memerintahkannya untuk mandi dengan air dan daun bidara[xiv].
Tatacara mandi hadas besar
            Terdapat beberapa riwayat yang menerangkan tatacara mandi hadas besar. Hadis-hadis ini disampaikan oleh ‘Aisyah dan Maimunah radhiyallahu ‘anhuma dan diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim di dalam kitab Sahih mereka secara terpisah. Dan dalam  riwayat-riwayat ini terdapat sedikit perbezaan.
Hadis ‘Aisyah[xv] :
            Bahawasanya Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam apabila hendak mandi dari hadas besar memulai dengan :
1-      Membasuh kedua tangan,  (dalam riwayat lain dari ‘Aisyah juga : selepas membasuh tangan, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam membasuh kemaluannya dengan tangan kiri) kemudian;
2-      Berwudhuk seperti wudhuk untuk solat, kemudian;
3-      Beliau memasukkan jari-jemarinya ke dalam bekas air kemudian beliau menyela rambutnya, kemudian;
4-      Mengalirkan air ke kepalanya dengan tiga cedokan tangan, kemudian;
5-      Beliau mengalirkan air ke seluruh badannya.
6-      (Dalam riwayat lain, ‘Aisyah menyebut bahawa akhir sekali, Nabishallallahu ‘alayhi wa sallam membasuh kedua kakinya).
Hadis Maimunah[xvi] :
            ‘Aku meletakkan air untuk Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam mandi kemudian :
1-      Beliau membasuh tangannya dua atau tiga kali, kemudian;
2-      Beliau mencedok air dengan tangan kanannya kemudian menuangkannya ke tangan kirinya, kemudian;
3-      Beliau membasuh kemaluannya (dalam riwayat lain : membasuh kemaluan dan segala kotoran yang ada padanya), kemudian;
4-      Beliau menggosok-gosokkan tangannya ke tanah atau tembok, kemudian;
5-      Membasuh tangannya dan berkumur-kumur serta memasukkan air ke dalam hidung, dan membasuh mukanya, kedua tangannya, dan kepalanya, kemudian;
6-      Mengalirkan air ke seluruh badannya;
7-      Beliau berpindah dari tempatnya dan membasuh kedua kakinya;
Akhirnya, aku memberikan dia sehelai kain (untuk mengelap air) lalu Bagindashallallahu ‘alayhi wa sallam memberikan isyarat dengan tangannya seperti ini, iaitu beliau tidak mengekehendakinya’.
Tatacara mandi kerana haid dan nifas
            Mandi setelah selesai haid atau nifas adalah sama seperti mandi untuk menghilangkan janabah. Tetapi terdapat beberapa tambahan seperti yang berikut :
1-      Menggunakan sabun atau pembersih ketika mandi. Seperti yang disabdakan Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam kepada Asma’ radhiyallahu ‘anha : ‘Hendaklah salah seorang daripada kalian mengambil air dan daun bidaranya, lalu dia bersuci dengan sebaik-baiknya..[xvii]
2-      Dianjurkan untuk membuka ikatan rambut ketika mandi kerana haid supaya yakin air sampai ke kulit. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha : ‘Lepaskanlah ikatan rambutmu dan mandilah’[xviii].
3-      Digalakkan baginya untuk menggunakan kain yang dikenakan minyak wangi dan diusapkan pada bekas darah hingga hilang baunya. Diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa seorang wanita bertanya kepada Nabishallallahu ‘alayhi wa sallam tentang cara mandi setelah selesai haid, lalu Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam mengajarkan kepadanya dan berkata : ‘Ambillah satu kain yang diolesi minyak wangi dan bersucilah dengannya. Wanita itu berkata : Bagaimana aku bersuci? Baginda berkata : Bersucilah dengannya! Dia berkata lagi : Bagaimana? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallamberkata : Subhanallah! Bersucilah! Lalu aku menariknya dan berkata : Bersihkanlah bekas darah dengan kain itu[xix].
Catatan
  • Hendaklah seseorang yang hendak mandi hadas itu untuk memulakan mandi dengan niat menghilangkan hadas besar. Tetapi tidak perlu untuk melafazkannya kerana ianya tiada contoh dari Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam. 
  • Tidak wajib bagi wanita untuk melepaskan ikatan rambutnya samada untuk menghilangkan janabah atau mandi kerana haid atau nifas. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha : Aku bertanya wahai Rasulullah, sesungguhnya aku adalah seorang wanita dengan rambut yang diikat kuat. Apakah aku mesti membuka ikatan itu untuk mandi janabah? (Dalam riwayat lain : …untuk mandi janabah dan haid?) Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallammenjawab : Tidak, cukup bagimu untuk mengalirkan air sebanyak tiga cedokan tangan ke kepala, lalu mengalirkan air ke seluruh badanmu, maka (dengan itu) engkau telah suci[xx].
  • Tatacara mandi yang disebut dalam hadis di atas adalah mustahabb(dianjurkan) dan sekiranya seseorang itu mengalirkan air ke seluruh badannya  maka mandinya sah dan sucilah dia daripada hadas besar.Dalilnya:
  1. Hadis Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha yang disebut di atas : ‘…cukup bagimu untuk mengalirkan air sebanyak tiga cedokan tangan ke kepala, lalu mengalirkan air ke seluruh badanmu, maka (dengan itu) engkau telah suci’.
  2. Diriwayatkan dalam sebuah hadis yang panjang oleh ‘Imran bin Hushain radhiyallahu ‘anhu, ketika Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dan para Sahabat dalam perjalanan, ada seorang sahabat dalam keadaan janabah. Disebutkan dalam riwayat ini : ‘…dan terakhir sekali, bejana air itu diberikan kepada lelaki yang dalam keadaan janabah tadi dan berkata Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Pergilah, dan curahkanlah air ke atas badanmu[xxi].
  • Sekiranya seseorang itu mandi dengan meratakan air ke seluruh badannya, adakah dia perlu mengambil wudhuk selepas mandi? Jawab : Para ulama’ berselisih pendapat dalam masalah ini. Al-Imam al-Syaf’ierahimahullah berkata : ‘Jika seseorang itu mula mandi dan tidak berwudhuk, dan dia menyempurnakan mandinya, maka itu sudah memadai dan dia tidak perlu berwudhuk untuk solat dan bersuci…[xxii]
            Begitu juga apa yang dikatakan oleh Ibn Taimiyah rahimahullah, sekiranya            seseorang itu meniatkan dengan mandinya untuk mengangkat hadas besar, maka       hadas kecilnya juga hilang. Ini kerana Allah menyebut (yang maksudnya) :     ‘…jika kamu dalam keadaan janabah, maka bersucilah..’ (al-Maidah : 6). Jika dia   bersuci dengan niat untuk menghilangkan hadas besar, maka itu sudah memadai     kerana Allah tidak menyebut selain daripada itu. Pendapat ini juga yang dipilih   oleh Syeikh Ibn al-‘Uthaiminrahimahullah[xxiii].
  • Seorang yang dalam keadaan hadas besar boleh mengakhirkan mandi janabah sehingga dia bangun dari tidur pada keesokan paginya. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berwudhuk sekiranya Bagindashallallahu ‘alayhi wa sallam hendak tidur atau makan[xxiv]. Begitu juga dengan sebuah hadis riwayat Umar radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata : Wahai Rasulullah, adakah seseorang itu boleh tidur dalam keadaan janabah? Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam menjawab : ‘Ya, jika dia telah berwudhuk maka tidurlah’[xxv].
Orang yang dalam keadaan hadas besar itu boleh menggunting rambut, memotong kuku dan keluar kerana tiada larangan dalam hal ini.
Allahu’alam..

[i] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Jika Bertemunya Dua Khitan, hadis no. 287 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Nasakhnya Hadis : (Air itu dari air) dan Wajibnya Mandi Disebabkan Bertemunya Dua Khitan, hadis no. 809.
[ii] Lihat : al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/160.
[iii] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Wajibnya Mandi Bagi Wanita Jika Keluar Mani, hadis no. 736; al-Nasaie dalam Sunannya, Kitab Pergaulan dengan Isteri, Bab Sifat Mani Lelaki dan Mani Wanita, hadis no. 9076 ; Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Bersuci dan Sunnah-Sunnahnya, Bab Wanita Melihat dalam Mimpinya Apa yang Dilihat oeh Lelaki, hadis no. 601; Ahmad dalam Musnadnya, 20/348.
[iv] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Air itu Dari Air, hadis no. 801; Abu Daud dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab al-Iksal (Tidak Keluar Air Mani), hadis no. 217.
[v] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Jika Seorang Wanita Bermimpi, hadis no. 278 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Adab, Bab Perkara yang Tidak Perlu Dimalukan Untuk Mendalami Agama, hadis no. 5770.
[vi] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Kitab Bersuci , Bab Lelaki yang Mendapati Kesan Basah Setelah Bangun Tidur, hadis no. 236; al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab Orang yang Bangun dari Tidur dan Mendapati Kesan Basah tetapi Tidak Ingat Bermimpi, hadis no. 113; dan Ahmad dalam Musnadnya, 43/264. Hadis ini dinilai sahih oleh al-Albani.
[vii] Lihat : Abdullah bin Abdur-Rahman al-Bassam, Tawdhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 1/273.
[viii] Hadis ini telah ditakhrij.
[ix] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Nasakhnya Hadis : (Air itu dari air) dan Wajibnya Mandi Disebabkan Bertemunya Dua Khitan, hadis no. 350.
[x] Ibn Abi Syaibah, Mushannaf Ibn Abi Syaibah, 1/164.
[xi] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Datang dan Perginya Haid, hadis no. 314 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Orang yang Istihadah, Mandinya dan Solatnya, hadis no. 779.
[xii] Lihat : al-Nawawi, al-Majmu’, 2/168.
[xiii] Lihat : Ibn Qudamah, al-Mughni, 1/273.
[xiv] Diriwayatkan oleh Abu Daud dalam Sunannya, Kitab Bersuci , Bab Seorang yang Masuk Islam dan Disuruh Mandi, hadis no. 355, al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab Safar, Bab Mandi Untuk Orang yang Masuk Islam, hadis no. 605, al-Nasa’ie dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab Orang Kafir Mandi Jika Masuk Islam, hadis no. 193. Al-Albani menilai sahih hadis ini.
[xv] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Berwudhuk Sebelum Mandi, hadis no. 245 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Sifat Mandi Hadas Besar, hadis no. 316. Lafaz hadis di atas adalah lafaz al-Bukhari.
[xvi] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Berwudhuk Sebelum Mandi, hadis no. 246; Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Sifat Mandi Hadas Besar, hadis no. 748.
[xvii] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Dianjurkan Untuk Orang yang Mandi kerana Haid Untuk Menggunakan Kain yang Diletakkan Miyak Wangi, hadis no. 776.
[xviii] Diriwayatkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Bersuci dan Sunnah-Sunnahnya , Bab Mengenai Haid Bagaimana Seorang Perempuan itu Mandi, hadis no. 641; dan Ibn Abi Syaibah dalam Mushannafnya, 1/100.
[xix] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Seorang Perempuan Menggosok-Gosok Dirinya Ketika Mandi dari Haid, hadis no. 308 dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Dianjurkan Untuk Orang yang Mandi kerana Haid Untuk Menggunakan Kain yang Diletakkan Miyak Wangi, hadis no. 776.
[xx] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Ikatan Rambut Perempuan yang Mandi Hadas Besar, hadis no. 770; al-Tirmizi dalam Sunannya, Kitab Bersuci, Bab Adakah seorang Perempuan itu Melepaskan Ikatan Rambutnya Ketika Mandi, hadis no. 105; dan Ibn Majah dalam Sunannya, Kitab Bersuci dan Sunnah-Sunnahnya, Bab Mandi Hadas Besar Bagi Wanita, hadis no. 603.
[xxi] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Tayammum, Bab Tanah yang Baik adalah Wudhuk Seorang Muslim yang Menggantikannya daripada Air, hadis no. 337, dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Masjid dan Tempat Solat, Bab Mengqadha’ Solat yang Terlepas Waktunya, hadis no. 682.
[xxii] Lihat : Muhammad bin Idris al-Syaf’ie, al-Umm, 1/58.
[xxiii] Lihat : Ibn al-‘Uthaimin, al-Syarh al-Mumti’ ‘ala Zaad al-Mustaqni’, 1/220.
[xxiv] Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Orang yang Janabah itu Boleh Tidur dan Dianjurkan Baginya Berwudhuk dan Membasuh Kemaluannya Jika Hendak Makan, hadis no. 305.
[xxv] Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya, Kitab Mandi, Bab Orang yang Dalam Keadaan Hadas Besar Boleh Tidur Setelah Berwudhuk, hadis no. 285; dan Muslim dalam Sahihnya, Kitab Haid, Bab Tidur Orang yang Berhadas Besar dan Dianjurkan Baginya Wudhuk, hadis no. 306.