6 WASIAT SAIDINA UMAR

6 WASIAT SAIDINA UMAR :

1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

4. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

6. Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.

Thursday 15 March 2012

Berubah Kerana Siapa?

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sollu 'alan Nabi.

Apabila kita terperosok ke lembah maksiat, hati pasti gelisah, tak tenteram. Tercari-cari medium untuk menghiburkan hati. Berseronok, rasa riang hanya seketika. Selepas itu, perasaan gundah gulana muncul kembali, kerana hakikatnya kita tertipu dengan nafsu sendiri.

Allah S.W.T Yang Maha Pengasih, telah sedia memberikan formulasi terbaik buat hambaNya. Seluruh hamba-hambaNya. Dia menghiburkan kita dengan firmanNya :

(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka tenteram (tenang) dengan mengingat Allah, ingatlah, hanya dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang. (Arra'd, 13:28)


Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka mengingati Allah. Maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. (Al-A'raaf, 7:201)

Formula yang sangat efektif : INGAT ALLAH.

Dan apabila hati yang tidak keruan mengingat Allah, Allah pasti memberikan ketenangan. Hidayah akan menyinari hati yang sendu, dan akan tertarik untuk melakukan hal-hal yang dicintai Allah. Diri yang pernah dicemari dosa, pasti ingin dibersihkan, lalu, detik keinsafan pada jiwa, dan kerinduan untuk melaksanakan ketaatan akan menzahirkan perubahan pada diri lahir dan batin (roh).

Cumanya, apabila seseorang ingin berubah menjadi lebih baik, niat perlu dijaga. Kita berubah kerana Allah. Kerana Dia yang memberi petunjuk. Bukan kerana dipaksa, untuk kelihatan baik, senang naik pangkat, atau segala macam tujuan yang bukan kerana Allah.

Perjuangan sudah pasti ada cabaran. Iman harus diuji. Allah mengatur, kita hanya menjalani. Melalui liku-liku  hidup berpaksikan keyakinan kepada Allah. Hidup dan mati kerana Allah.

Pentarbiyahan Allah kepada kita ada dalam pelbagai rupa dan bentuk. Mungkin ada dalam bentuk kata-kata dari orang sekeliling, kesusahan, dan sebagainya.

" Wah, dah pakai tudung labuh ek kau sekarang. Ustaz mana kau nak ngorat?"


"Entah ye entah tidak berubah tu. Tak lama lagi mesti jadi macam dulu balik..."


"Entah ikhlas entah tidak..luar je nampak baik.."


"Kau tak sesuai la pakai jubah, serban semua tu..kau bukannya ustaz pun.."


"Nak nasihat orang konon, macam la bagus sangat..bajet alim.."

Wahai hati, kuatlah. Hakikatnya hidup ini ujian. Usahlah dilayan atau difokuskan pada kata-kata yang hanya akan melemahkan semangat juang kita. Jika dilayan, pasti akan menimbulkan sakit hati dan keinginan untuk memprotes. Kita pandanglah dari sudut positif. Pandanglah bahawa segala-galanya adalah dari Allah. Mungkin Allah ingin menyedarkan kita bahawa kita sememangnya belum betul-betul ikhlas untuk mempertahankan agamaNya. Kita masih lalai dan belum berusaha sehabis baik. Dalam hati masih bercampur dengan perasaan riak, ujub, dan sebagainya.

'Mereka' yang melantunkan kata-kata itu hanyalah saluran ujian daripada Allah. Kita patut doakan mereka kerana mereka masih belum faham. Mungkin hal itu juga boleh menjadi ujian buat mereka; berasa tidak puas hati melihat orang lain berbuat baik, mencari-cari kesalahan dan aib orang lain, menuturkan perkataan yang menyakitkan hati saudaranya, bukankah ini mencerminkan bahawa hati mereka juga perlu digilap? Diri dan hati sendiri juga kita tidak tahu apatah lagi kita hendak menilai orang lain? Hanya Allah saja Yang Maha Mengetahui tahap keimanan kita kepadaNya. Dialah sebaik-baik penilai. Kita tidak perlu buktikan apa-apa kepada manusia. Biarlah hanya Allah Yang Tahu.

Atau mungkin juga kita pun 2x5. Merasa diri lebih baik dari orang lain. Na'uzubillah. Pegangan yang tidak kukuh pasti mudah goyah apabila terjebak dengan hal-hal sebegitu. Pegangan kita mesti kuat. Ayuh! Hisab diri sendiri sebelum tiba hari penghisaban.

Hakikatnya kita semua perlu jaga hati. Tak kiralah siapa pun kita. Berlapang dada, sabar, teguh dalam keyakinan, minta pertolongan Allah. Allah sebaik-baik penolong. Allah menurut persangkaan kita.

"Aku yakin Allah ada bersamaku, aku yakin Allah sedang menilai usahaku, aku yakin Allah bersama orang yang sabar, aku yakin Allah pasti memberi pertolongan kepada orang yang menolong agamaNya, aku yakin pada kata-kata Allah dalam Al-Quran, aku yakin denganMu Ya Allah.."

Soalan pada diri : Aku berubah kerana siapa?












2 comments:

  1. salam..ili..jzk. rindu fillah. pengisian y brmakma =)

    ReplyDelete
  2. wslm Aisyah..Alhamdulillah..miss u fillah juga..:)

    ReplyDelete