Sollu 'alan Nabi.
Situasi 1:
Si A dianugerahkan kecemerlangan akademik. Rasa gembiranya bukan kepalang. Dia rasa sangat bangga kerana usaha kerasnya selama ini membuahkan hasil. Jiwanya mengucap 'syukur' kepada Allah, hanya sekali itu. Selepas itu diceritakan kejayaannya itu kepada semua rakan-rakan, keluarga dan saudara-mara. Di laman sosial juga. Dibeberkannya bila-bila ada peluang. Malahan keluarganya juga tak melepaskan peluang untuk menceritakan kejayaan anak mereka.
Sebelumnya apabila keputusan peperiksaannya tidak seberapa, langsung tidak ada lafaz syukur dari lisannya kerana sekurang-kurangnya dia lulus dan tidak perlu mengulang peperiksaan tersebut. Semuanya dipendam, dirahsiakan dari pengetahuan orang lain. Malu dianggap kurang cemerlang oleh orang lain. Walhal di akhirat nanti Allah tak tanya pun dia excellent ke tak dalam exam.
Hari ini dia telah berjaya menjadi seorang profesional di dalam bidangnya. Seperti biasa si A sentiasa ingin menjadi yang terbaik.."aku..aku..aku..ini hasil usaha aku..ini kejayaan aku..ini anugerah aku..ini kerja aku..ini duit aku..ini piala aku..ini sijil aku..ini pangkat aku..ini jawatan aku..inilah keluarga aku..inilah aku..inilah destinasi percutian aku..inilah anak dan pasangan aku..inilah kereta aku..inilah rumah aku.."
Itulah zikir si A. Dia memandang 'kebesaran' dirinya. Di 'upload' semua kehebatannya di laman sosial dan dalam perbualan bersama manusia. Hanya kadang-kadang lafaz Alhamdulillah diucapkan di hadapan manusia sambil hatinya terpaut kuat pada dunia yang disangka miliknya.
Situasi 2:
Si B tidak habis sekolah lantaran miskin. Dia bekerja sebagai tukang sapu. Hari itu dia menghadap rezeki yang dianugerahkan oleh Allah. Di atas pinggan terhidang nasi, ikan masin goreng, kicap dan ulam-ulaman. Dia lantas merenung akan kebesaran Allah. Nasi..dari mana ia didatangkan..proses menanamnya, tumbuhnya, menuainya..Ya Allah..panjangnya proses dari padi untuk menjadi beras..ikan..dari sungai mana, siapa nelayannya, proses mengeringkannya..belum lagi kicap..ulam..bahkan air..pinggan itu sendiri..Semuanya telah ditakdirkan oleh Allah dan dijamin oleh Allah untuk berada di hadapannya di saat itu, ketika itu..sebagai rezeki buatnya..
Subhanallah..Maha Suci Engkau Ya Allah..Terima kasih Ya Allah..Zat Yang Maha Kaya, Maha Pengasih..jiwa si B lantas tidak tahan akan kebesaran Ilahi lalu air matanya mengalir..air mata kesyukuran..
Hari demi harinya dilalui dengan penuh rasa kehambaan dan kesyukuran..Semua yang dipandangnya dikaitkan dengan KeAgungan Allah..dia bersyukur dengan segala-galanya. Nikmat hidup, nikmat Islam, nikmat akal, nikmat kesihatan, sempurnanya tubuh badan dan betapa luasnya kasih sayang dan anugerah Allah sepanjang kehidupannya..
Kerana memang pada hakikatnya hanya Allah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu..Segala kebaikan walaupun kecil adalah semata-mata kurniaan dari Allah..cukuplah Allah baginya..di dalam kesederhanaan dia belajar mengenal dan mencintai Allah..Si B berasa bahagia dengan Tuhan, biarpun dia tidak pernah mengecapi kejayaan dunia.
-Segalanya mutlak daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Ke mana kita hadapkan hati kita?
No comments:
Post a Comment