6 WASIAT SAIDINA UMAR

6 WASIAT SAIDINA UMAR :

1. Jika engkau menemukan cela pada seseorang dan engkau mahu mencacinya, maka cacilah dirimu. Kerana, celamu lebih banyak darinya.

2. Bila engkau hendak memusuhi seseorang, maka musuhilah dahulu perutmu. Kerana, tidak ada musuh yang lebih berbahaya terhadapmu selain perut.

3. Bila engkau hendak memuji seseorang, pujilah ALLAH s.w.t.! Kerana, tiada seorang manusia pun lebih banyak dalam memberi kepadamu dan lebih santun lembut kepadamu selain DIA.

4. Jika engkau ingin meninggalkan sesuatu, maka tinggalkanlah kesenangan dunia. Sebab, andaikata engkau meninggalkannya, bererti engkau terpuji.

5. Bila engkau bersiap-siap untuk sesuatu, maka bersiaplah untuk mati. Kerana, jika engkau tidak bersiap untuk mati, engkau akan menderita, rugi penuh penyesalan.

6. Bilamana engkau ingin menuntut sesuatu, maka tuntutlah Akhirat. Kerana, engkau tak akan memperolehnya kecuali dengan mencarinya.

Monday, 11 March 2013

Pertolongan dari Allah Yang Maha Mendengar

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Sollu 'alan Nabi.

Alhamdulillah.

Suatu hari Nailah dan suaminya ke Pejabat Imegresen untuk membuat pasport. Mereka sampai  pada jam 7.45 pagi dan kelihatan orang ramai telah mula beratur panjang di ruangan luar pejabat itu. Setelah pejabat dibuka jam 8 pagi, mereka menggunakan tangga untuk naik ke tingkat 3 kerana lif yang sesak dan agak lambat. Setelah sampai mereka perlu beratur lagi untuk mengambil nombor giliran dan perlu menunjukkan kad pengenalan berserta 2 keping gambar berukuran pasport.

Nailah yang berniqab mencari tempat duduk yang lapang. Ditariknya tangan suami untuk duduk di sebelahnya sambil menunggu giliran. Matanya mula memerhatikan kaunter-kaunter serta petugas yang ada. Dia mula rasa kurang selesa kerana kebanyakan petugas di situ adalah lelaki, dan dia tahu dia harus membuka niqabnya di hadapan petugas bagi tujuan mengenal pasti identiti sebagai pemilik sah kad pengenalan. Diperhatikannya skrin yang memaparkan nombor giliran pelanggan berserta nombor kaunter mana yang mereka harus pergi. Kaunter di situ bernombor 12 hingga 26.

Sebelumnya, di dalam kereta, Nailah telah berbincang dengan suami. "Nanti orang tu nak camkan muka, kena bukak niqab kan?.." soalnynya. Suami mengiyakan dan berkata, "Ye..sayang bukak kejap je, lepas tu tutup balik..memang prosedurnya macam tu..". Nailah mengangguk. Dia telah bersedia untuk hal-hal seperti itu. Kalau difikirkan memang tidak ada masalah jika menampakkan wajah, kerana Nailah memegang pendapat bahawa menutup wajah itu sunat.

Namun, apabila dia telah berniqab, membuka wajah itu merupakan sesuatu perkara yang 'besar' dan dia akan berasa malu dan kurang selesa jika lelaki ajnabi melihatnya. Apatah lagi wajahnya dikhuatiri akan menimbulkan fitnah di kalangan lelaki. Prinsipnya dalam berniqab adalah supaya dia dapat menundukkan pandangan matanya dari memandang yang haram serta membantu kaum Adam supaya menundukkan pandangan mereka. Dia menjaga diri dan pakaiannya supaya tidak bertabarruj, menjaga lisan, telinga, hati serta fikiran yang ditutupi oleh tudung dan niqab sepenuhnya itu sebagai simbolik peringatan untuk dirinya supaya menjaga anggota itu dari perkara yang haram.

Tertera di skrin nombor giliran yang sedang dipanggil. Kebanyakan nombor harus berurusan dengan kaunter 17 hingga 22, dan kesemua petugas adalah lelaki. Nailah menghela nafas. "Ya Allah, mudahkan urusanku.." doanya lirih. Matanya memerhatikan lagi. Dilihatnya petugas kaunter 14 dan 15 adalah wanita muslimah yang berjilbab. Namun kaunter itu kelihatan seperti tidak aktif.  Di hatinya tetap ada harapan. Harapan kepada Allah. Allah Maha Mengetahui betapa dirinya tidak suka dilihat oleh lelaki dan dia menjaga auratnya demi meraih keredhaan Allah. Dia berdoa lagi berkali-kali di dalam hati. "Ya Allah, mudah-mudahan aku dapat berurusan dengan kaunter 15 tu Ya Allah.."

Tiba-tiba nombor gilirannya dipanggil. NOMBOR 0027 KAUNTER 12. Nailah bangun dan dilihatnya kaunter 12-petugas lelaki. Nailah menenangkan diri dan menuju ke kaunter tersebut. Dia telah bersedia untuk membuka niqabnya demi kelangsungan proses membuat pasport. Hanya itu. "Mudah-mudahan Allah menolongku.." bisik hatinya. Apabila hampir sampai ke kaunter tersebut, petugas lelaki itu bangun dan seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena. Terdengar dia berkata, "Eh, kaunter ni ada panggil orang ke tadi..".  Dia melihat kaunter yang lain dan mengarahkan Nailah untuk pergi ke kaunter 15. Subhanallah! Nailah bagaikan tidak percaya. Allah benar-benar memakbulkan doanya. "Alhamdulillah..terima kasih Ya Rabb.." biarpun tidak ada siapa yang melihat wajahnya, di sebalik cebisan kain itu, Nailah sedang tersenyum bahagia.

"Biarlah hanya suami, mahram dan muslimah yang melihat wajahku.." tekadnya. Dia teringat hadis Rasulullah SAW yang menjadi penguat jiwanya:  

Daripada Abu al-'Abbas, Abdullah ibn Abbas, r.a. beliau berkata: "Aku pernah duduk di belakang Nabi SAW pada suatu hari, lalu Baginda bersabda kepadaku:
“Wahai anak! Sesungguhnya aku mahu ajarkan engkau beberapa kalimah: Peliharalah Allah nescaya Allah akan memeliharamu. Peliharalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia di hadapanmu. Apabila engkau meminta, maka pintalah dari Allah. Apabila engkau meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan dengan Allah. Ketahuilah bahawa kalau umat ini berkumpul untuk memberikan sesuatu manfaat kepadamu, mereka tidak akan mampu memberikanmu manfaat kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukan untukmu. Sekiranya mereka berkumpul untuk memudharatkan kamu dengan suatu mudharat, nescaya mereka tidak mampu memudharatkan kamu kecuali dengan suatu perkara yang memang Allah telah tentukannya untukmu. Pena-pena telah diangkatkan dan lembaran-lembaran telah kering (dakwatnya)." 

(Riwayat Ahmad no. 2669, al-Tirmizi no. 2516 dan al-Hakim no. 6302)

Urusan membuat pasport itu juga telah dipermudahkan oleh Allah. Petugas muslimah itu amat baik dan telah membantu Nailah untuk menyiapkan passportnya secepat yang mungkin. Betapa pertolongan Allah itu sampai tanpa disangka-sangkanya. Pertolongan Allah ada di mana-mana. Kita cuma perlu buka hati hati kita untuk meyakini-Nya. Nailah semakin yakin, jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolongnya. Jika kita menjaga Allah, Allah akan menjaga kita. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar!




No comments:

Post a Comment