Bismillah. Sollu 'alan Nabi.
Wanita. Nampak seperti lemah.
Nampak seperti tidak bermakna. Dahulunya dunia menjadikannya semata-mata hamba.
Tidak kurang sebagai simbol seks. Bahkan ada peradaban terdahulu menganggap
perempuan itu sebahagian dari syaitan kerana banyak membawa fitnah kepada
kehidupan.
Tetapi Islam datang membawa
sinar kemuliaan. Wanita diangkat mulia. Dijaga. Bahayanya diakui, tetapi
mulianya tidak dihilangkan begitu sahaja. Wanita-wanita yang mengambil Islam
sebagai cara hidup, terus menjadi seperti bidadari. Mahal. Berjalan di atas
dunia dan dicemburui bidadari-bidadari Syurga.
Artikel ini sekadar
menunjukkan cebisan-cebisan jejak Bidadari Dunia yang telah menembusi syurga.
Semoga wanita-wanita yang masih hidup kini terasa mulia, dan ingin menjadi
seperti mereka.
Kerana saya, seorang Adam
nyata bahagia melihat bidadari-bidadari dunia.
Hawwa di sisi Adam.
Saya suka menggunakan cerita
ini untuk menunjukkan betapa ‘mahal’nya seorang wanita.
Adam itu diciptakan di dalam syurga,
yang segala-galanya sempurna. Tetapi nyata, kesempurnaan syurga itu tidak mampu
mengisi jiwanya. Terasa dia sunyi dan sepi, hinggalah akhirnya diwujudkan
buatnya Hawwa.
Mahalnya wanita adalah
seperti syurga. Itu pada saya. Sebab itu ada lelaki, mereka fikir bila dapat
wanita, mereka dapat segalanya. Sebab itu ada lelaki, sanggup gadai segala
benda hanya untuk dapatkan seorang wanita.
Hawwa mengisi kekosongan jiwa
Adam yang berada di Syurga. Hawwa itu jugalah yang menemani Adam saat menempuh
kehidupan yang sukar di dunia. Tanpa kita lupa, Hawwa jugalah antara sebab
mengapa mereka diturunkan ke dunia.
Pada permulaan sejarah
manusia, perempuan wujud sebagai pelengkap. Wanita tidak menjadi ‘pemula’
sebagaimana Adam. Tetapi nyata Hawwa adalah ‘pelengkap’ yang diperlukan oleh
seorang pemula.
Tidakkah wanita hari ini
belajar daripada Hawwa?
Dari situ jelas terserlah
intipati utama mengapa perempuan itu dicipta.
Adam memerlukan Hawwanya!
Asiah Yang Menyelamatkan Musa.
Suami yang jahat tidak
semestinya isterinya jahat juga, sebagaimana ironinya suami yang baik tidak
semestinya baik isterinya. Begitulah Asiah di sisi Firaun. Sangat kontra sikap
mereka, tetapi nyata Firaun amat-amat mencintainya. Dan tidaklah Allah SWT
meletakkan Asiah di sisi Firaun, melainkan untuk memainkan watak yang amat
penting dalam sejarah manusia.
Bidadari manakah yang
menyelamatkan Nabi Allah Musa, kala Firaun bergerak hendak membunuh Musa yang
masih bayi itu? Kalau bukan seorang Bidadari bernama Asiah. Bidadari yang
berani berhadapan dengan Firaun yang terkenal bengis dan keras.
“Mungkin kita boleh
mengambilnya sebagai anak angkat, sedang kita sendiri tidak punya anak. Masakan
anak sekecil ini boleh membawa bencana kepada kita.”
Dan Musa AS membesar memenuhi
takdirnya sebagai utusan Ilahi.
Manakala Asiah pula menjadi
salah seorang yang percaya kepadaNya, sekaligus memperjuangkan Islam di dalam
istana Firaun. Dengan tabah berusaha juga membawa suaminya ke arah kebenaran,
walau akhirnya diseksa dengan penjara. Dia tetap adalah yang teguh berpegang
kepada ajaran Tuhan, walau akhirnya di dalam penjara dia terseksa hingga
kematian.
Mulianya Asiah hingga dia
diabadikan di dalam Al-Quran:
“Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan
tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan
orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri
Firaun, ketika ia berkata: Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di
sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang
kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim.” Surah At-Tahrim ayat 11.
Tetapi siapakah yang melihat
bidadari dunia ini dan mencontohinya?
Hari ini kebanyakan wanita
tidak diduga seperti dugaannya Asiah, tetapi telah awal-awal meninggalkan
syariat Allah Ta’ala. Maka di manakah kemuliaan semahal syurga tadi? Murah
terus berubah harganya selayak gaya peribadi.
Hajar Yang Membesarkan Ismail Itu.
Kita saban tahun akan
mengulang kaji kisah Hajar ketika musim Raya Haji. Tetapi wanita manakah di
dunia ini yang ingin mencontohi bidadari dunia ini. Inilah dia sayap kepada
Ibrahim, dan murabbiah kepada Ismail.
Akhlak cantik Ismail bukanlah
tumpahan tarbiyah Ibrahim, tetapi adalah daripada tangan wanita mulia bergelar
Hajar ini. Inilah dia wanita yang tidak meraung apabila ditinggalkan suaminya
kerana Ilahi. Inilah dia bidadari yang kepercayaannya kepada Allah teramatlah
tinggi.
Tiadalah dia apabila
ditinggalkan suaminya itu, mendidik anak agar membenci pasangannya yang
meninggalkan. Tetapi dia tulus mendidik Ismail agar menjadi taat dan percaya
kepada Tuhan. Lantas apabila Ibrahim AS pulang kembali membawa berita untuk
melakukan korban nyawa Ismail, Ismail yang dididik Hajat menjawab dengan
jawapan yang tenang dan mulia.
Tidakkah kita membaca kisah
itu di dalam Al-Quran?
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang
membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai
anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan
menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah,
jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya Allah, ayah akan mendapati
daku dari orang-orang yang sabar.” Surah As-Saffat ayat 102.
Apakah Ismail automatik
menjadi sedemikian rupa?
Tidak. Tetapi berkat didikan
Hajar, kesabarannya, kecekalannya, ketabahannya, keimanannya, keyakinannya.
Itulah dia Bidadari Dunia.
Dan siapakah dari kalangan
saudari-saudari saya yang ingin menjadi seperti Hajar pada hari ini?
Dan Di Sisi Rasulullah Itu Bidadari-bidadari Baginda.
Tidakkah kita sering membaca
Sirah, bagaimana Rasulullah SAW ketika pertama kali menerima wahyu?
Baginda pulang ketakutan dan
siapakah yang menenangkan baginda?
Bukankah seorang bidadari
dunia bernama Khadijah?
“Jangan takut. Sesungguhnya
amat mustahil Allah akan membinasakanmu. Sesungguhnya engkau adalah yang
menghubungkan silaturrahim, membantu yang sengsara, mengusahakan barang
keperluan yang masih belum ada, memuliakan tetamu dan membantu orang menegakkan
kebenaran.”
Bukankan bidadari dunia itu
yang berada di sisi baginda?
Bidadari Dunia itu jugalah
yang memberikan baginda harta untuk diperjuangkan di jalan Allah SWT. Bidadari
Dunia itulah yang menemani baginda saat dipulau selama 3 tahun 3 bulan.
Jika kita selak lagi lembaran
sirah, tidakkah kita kenal dengan seorang lagi bidadari dunia bergelar Ummu
Salamah, salah seorang dari Ummul Mukminin, isteri baginda SAW?
Saat Rasulullah SAW buntu
mengapa kaum Muslimin tidak menuruti perintahnya untuk melaksanakan
penyembelihan binatang qurban dan bercukur kerana tidak dapat melaksanakan
umrah pada tahun berlakunya Perjanjian Hudaibiyah, bukankah Bidadari Dunia
bernama Ummu Salamah inilah yang memberikan nasihat:
“Wahai Nabi Allah, apakah engkau menginginkan perintah Allah ini
dilaksanakan oleh kaum muslimin? Keluarlah engkau, kemudian janganlah mengajak
bicara sepatah kata seorang pun dari mereka sampai engkau menyembelih qurbanmu
serta memanggil tukang cukur yang mencukurmu.”
Bila Rasulullah SAW melaksanakannya, barulah kaum Muslimin rasa bersalah kerana
tidak menghiraukan perintah baginda, dan mula mengikut apa yang dilaksanakan
oleh Rasulullah SAW.
Semua ini adalah Bidadari Dunia.
Yang beriman kepada Allah SWT. Yang jelas akan matlamat mereka berada di atas
dunia. Pada mereka ada ketabahan, kekentalan, yang menjadi pakej lengkap untuk
mengiringi seseorang yang hebat. Bukanlah mereka itu sekadar hiasan, tetapi
merupakan pembantu dan pelengkap yang diperlukan.
Maka siapakah yang mencontohi mereka?
Dan Muhammad Al-Fateh itu dibesarkan Bidadari Dunia Yang
Berwawasan.
Tiada siapa yang mengetahui
bahawa Muhammad Al-Fateh adalah yang akan membuktikan profesi Rasulullah SAW di
dalam hadith baginda berkenaan pembukaan Konstantinopel menjadi kenyataan.
Tiada siapa yang tahu.
Tetapi seorang bidadari
dunia, yang telah mengandungkan Muhammad Al-Fateh selama 9 bulan 9 hari punya
wawasan yang tinggi untuk menjadikan anaknya sebagai pemecah profesi tersebut.
Saban hari, sejak dari
Muhammad Al-Fateh di dalam gendongan, Ibunya akan membawanya ke tempat yang
tinggi menghadap ke Konstantinopel, lalu membaca hadith Rasulullah SAW yang
masyhur:
“Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang
menaklukkannya adalah sebaik-baik pemimpin dan pasukan yang berada di bawah
komandonya adalah sebaik-baik pasukan.” Hadith Riwayat Ahmad bin Hanbal Al-Musnad
4/335.
Dari kecil, bidadari dunia
inilah yang membina seorang Muhammad Al-Fateh dengan harapan dan inspirasi.
Agar anak itu punya wawasan dan fokus, punya cita-cita yang tulus. Mahu menjadi
sebaik-baik pemimpin yang mampu membina sebaik-baik tentera bagi merealisasikan
apa yang Rasulullah SAW kata.
Maka di manakah
saudari-saudari saya pada hari ini, yang mahu merealisasikan 1001 janji Allah
SWT dan RasulNya bagi mereka yang tunduk dan mentaati?
Penutup: Itulah dia segelintir daripada mereka.
Baru beberapa. Tetapi sudah
mampu menakjubkan kita. Begitulah dia wanita-wanita di dalam Islam. Cekal.
Indah. Tabah. Mantap. Mahal. Apakah persamaan antara mereka ini? Iman. Islam.
Hubungan dengan Allah SWT. Kejelasan matlamat hidup. Itulah yang membuatkan
mereka menjadi mereka. Bukan kerana mereka ini wanita. Tetapi adalah kerana
mereka ini wanita yang tunduk kepadaNya. Itulah dia Bidadari Dunia!
Maka di manakah wanita-wanita
hari ini dalam menjadi Bidadari Dunia?
Siapakah yang mereka contohi
dan dijadikan ikutan dalam meniti kehidupan di atas dunia?
Atau mereka tidak lagi merasa
mahal dan terus memurahkan diri mereka? Melanggar peraturan Allah SWT, dan merosakkan
pula yang berada di sekeliling mereka?
Sesungguhnya telah kita
saksikan kewujudan Bidadari-Bidadari Dunia. Mereka adalah yang telah menembusi
syurga. Maka siapakah yang ingin mengikuti jejak langkah mereka?
Atau kita masih mahu
menjadikan yang tidak sepatutnya sebagai contoh ikutan kita?
Wahai saudari-saudariku,
menjadilah Bidadari Dunia!
-HILAL ASYRAF (langit ilahi.com)-
Allahuakbar. Moga kita semua dapat mencontohi bidadari-bidadari dunia yang memiliki sifat-sifat bidadari di syurga seperti yang termaktub dalam Al-Quran; iaitu berhias hanya untuk suami, menjaga pandangan, terjaga kesuciannya dan penuh cinta kasih terhadap suami. Semua ini hanya dapat dilaksanakan dengan meletakkan ketaatan kepada Allah di tempat yang tertinggi. Amal Lillahi Ta'ala. Amin.
No comments:
Post a Comment