Bismillah. Sollu 'alan Nabi.
"Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari
isteri-isteri kami dan anak pinak kami, penyejuk mata kami, dan jadikanlah
kami penghulu bagi orang-orang bertaqwa." (Surah al-Furqan:74)
Ya. Penyejuk mata. Suatu perkara yang tidak pernah kita lupa untuk
pohon setiap kali kita menadah tangan berdoa. Kenapa Allah Ta'ala suruh kita
minta penyejuk mata? Sebabnya, itulah yang bakal menjamin ketenangan dan
kebahagiaan kita dalam kehidupan nanti.
Bagaimana kalau nantinya ada isteri, tetapi seringkali menyakitkan
hati kita, raut wajahnya langsung tidak mendamaikan kita, tingkah lakunya ada
sahaja yang tidak kena di mata kita. Adakah kita akan bahagia?
Bagaimana pula kalau nantinya ada anak. Comel-comel belaka, tetapi
wujudnya mereka begitu menyusahkan kita, sikap mereka kerapkali melukakan hati
kita, kedegilan mereka selalu sahaja membuatkan kita hilang sabar dan sakit
hati sentiasa. Adakah kita beroleh ketenangan?
Tentu sekali tidak.
Lantas, kita dianjurkan supaya berdoa. Minta supaya Allah beri
pasangan yang mendamaikan hati dan perasaan kita, serta zuriat yang boleh
menjadi penyejuk mata kita. Mudah-mudahan, Allah makbulkan doa dan permintaan
kita.
Suatu lontaran untuk para wanita hari ini, khususnya yang belum
berumahtangga.
Sedarkah anda, bahawa bakal teman hidup anda setiap hari berdoa
supaya anda menjadi penyejuk mata mereka? Sedarkah anda, bahawa mereka tidak
pernah melupakan anda dalam setiap doa mereka?
Tidak. Saya tidak maksudkan anda mengenali mereka atau mereka
mengenali anda.
Tetapi hakikatnya, mereka mendoakan anda yang bakal hadir dalam
hidup mereka suatu ketika nanti. Sayangnya, anda mungkin terlupa lantaran anda
tidak kenal siapa mereka. Kerana itu juga, anda kurang mengambil berat tentang
persediaan anda untuk menjadi penyejuk mata mereka.
Penyejuk mata?
Sungguh, ia bukan tugas yang mudah. Kalau anda fikir ia akan
berhasil dengan anda berhias diri, memakai wangian dan berbaju cantik di
hadapan mereka setiap hari, sesungguhnya anda silap sama sekali. Anda harus
sedar, ramai sekali golongan cantik dan menawan di luar sana yang gagal untuk
menjadi penyejuk mata kepada suami mereka. Bahkan sebahagian besar dari mereka
berakhir dengan perceraian. Semoga dijauhkan Allah.
Menjadi
penyejuk mata suami, prosesnya bermula hari ini.
Tilik kembali diri anda. Zahiriah dan batiniah. Kedua-duanya.
Pertama
sekali, bagaimana hubungan anda dengan
Allah? Solat wajib dan sunat. Bacaan al-Quran. Zikir munajat.
Selawat serta amalan-amalan yang lain. Berapa peratus yang telah anda capai dan
lakukan secara istiqamah? Tahukah anda, faktor paling besar yang menentukan
samada anda berjaya atau tidak menjadi penyejuk mata suami adalah; cemerlang
atau tidak hubungan anda dengan Allah? Justeru, perbaiki dari sekarang.
Kedua, sikap dan perangai.
Carilah seorang kawan yang jujur dan yang anda kira agak rapat serta kenal
dengan anda. Sekiranya anda yakin akan kejujurannya, minta pandangannya tentang
diri anda, terutama tentang sikap dan perangai. Jika anda dapati diri anda
masih dibelenggu sikap meninggi diri, degil, ego yang tinggi, kurang rasa
hormat pada orang, suka mengumpat, pemalas dan seribu satu sikap negatif yang
lain, maka perkara pertama yang wajib anda buat adalah ; kikis sedaya upaya
semua sikap tersebut dari terus melekat dalam diri anda. Percayalah, ia antara
faktor yang bakal menggagalkan anda dari menjadi penyejuk mata suami.
Ketiga,
lihat balik luaran diri anda. Khususnya pemakaian. Sempurnakah
anda dalam menutup aurat? Jika
masih selesa bertudung ringkas, berbaju t-shirt lengan sekerat dan berseluar
jeans separa ketat, maka percayalah anda bakal bertemu kegagalan. Itupun
sekiranya anda mempunyai hasrat untuk bergelar penyejuk mata suami.
Tidak,
ini bukan soal suami anda islamik atau tidak, mengambil berat semua perkara itu
atau tidak. Ia adalah soal Si
Pemberi Ketenangan, iaitu Allah. Kalau Dia tak bagi, siapa
lagi yang boleh bagi?
Mudahnya begini. Doa itu kan permintaan kita dengan Allah.
Contohnya, kita minta supaya Allah terangkan hati kita supaya mudah belajar.
Tetapi kita tidak berhenti dari tabiat suka minum arak. Mana mungkin Allah akan
berikan ketenangan itu pada hati kita yang gelap?
Sama juga. Suami minta pada Allah, berikan dia penyejuk mata
supaya dia beroleh tenang dalam hidup. Tetapi kita pula melazimi maksiat dan
penderhakaan kepada Allah. Aurat kita terdedah setiap hari. Akhlak kita
langsung tiada ciri isteri mithali. Hubungan kita dengan Allah lompong di sana
sini. Lantas, adakah kita layak untuk menduduki tempat 'penyejuk mata'
tersebut? Bagaimana pula kita yang jauh dari Tuhan, boleh menjadi penyejuk mata
manusia?
Sekadar lontaran buat kaum hawa. Ramai di antara anda mahu menjadi
isteri solehah suatu ketika nanti. Tetapi usaha ke arah itu masih lemah.
Perbaikilah dari sekarang. Bisikkan ke dalam hati anda setiap hari, bahawa anda
bakal menjadi penyejuk mata kepada seorang lelaki yang baik suatu ketika nanti.
Lelaki itu pula setiap masa mendoakan anda supaya berjaya menjadi penyejuk mata
mereka suatu masa nanti. Besar harapan mereka, sanggupkah anda hancurkan begitu
sahaja?
Jadi mulai hari ini, berusahalah untuk menjadi penyejuk mata
suami. Sebenarnya, andai anda mampu melaksanakan langkah pertama yang saya
sebut di atas ; iaitu memperbaiki hubungan anda dengan Allah, maka anda
sebenarnya telah berjaya melepasi separuh masa pertama piala kemenangan untuk
bergelar isteri solehah – penyejuk mata suami.
Justeru, selamat berjaya, wahai para penyejuk mata!
Sumber : myilham.co
Allahuakbar. Moga kita diberi izin oleh Allah untuk bergerak menjadi Qurrata A'yun (penyejuk mata).
InsyaAllah. :) :) :)
No comments:
Post a Comment