Bismillahirrahmaanirrahiim.
Peringatan buat diri sendiri dan sahabat yang disayangi.
Indahnya seorang Muslimah itu adalah apabila dia mengetahui
peranan dan tanggungjwabnya di dunia ini, serta mematuhi segala peraturan yang
telah ditetapkan oleh Allah S.W.T serta menjauhi laranganNya. Dia meletakkan
akhirat di depan, dan dunia dibelakangnya.
Dia menyatakan
keimananNya kepada Allah melalui hati, ucapan dan perbuatan sepertimana dalam
sabda Rasulullah S.A.W – “Bermula iman itu ialah yakin dengan hati, diikrarkan
dengan lidah dan dilaksanakan dengan perbuatan.”
Allah berfirman : “Sesungguhnya orang yang sebenarnya
beriman ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian
mereka tidak ragu-ragu dan berjihad
dengan harta dan diri mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang-orang yang
benar.” (Al-Hujurat:15)
Iman adalah segala-galanya. Ia merupakan harta yang tak
ternilai, merupakan anugerah dari Allah buat hambaNya yang dikasihi. Namun
sudikah kita mempertahankan iman kita sepertimana Sumayyah dan Asiah hingga
sanggup mempertaruhkan nyawa? Sanggupkah kita berkorban masa, harta dan tenaga
seperti Saidatina Khadijah?
Atau mungkin pesona dunia lebih mendapat tempat dalam hati
kita. Kita amat mudah berkecil hati pada perkara yang remeh-temeh hingga lupa
bahawa orang yang beriman itu adalah orang yang sabar.
Firman Allah :
“Wahai orang-orang
yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkan kesabaranmu.” (Ali Imran:200)
Fokus hati kita
terhenti pada perkara selain Allah (ghairullah). Kita lebih risau akan
pandangan orang lain daripada pandangan Allah dan RasulNya. Bahkan kita malu
untuk melaksanakan perintah Allah kerana takut dikatakan tidak up-to-date, jumud, dan sebagainya.
Allah telah menyatakan bahawa “Kehidupan dunia ini hanyalah
senda gurau dan main-main saja. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang
sebenar-benarnya kehidupan.” (al-Ankabut:64)
“Seandainya dunia itu sepadan dengan sayap nyamuk di sisi
Allah, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walau seteguk
air.” (HR. Tirmizi)-Hasan Sahih.
Oleh itu, tak usahlah kita meletakkan cinta kepada dunia
dalam hati kita kerana hal itu hanya mengundang kebinasaan.
Mari kita sama-sama usahakan cinta kepada Allah kerana hanya
Dia empunya cinta sejati. Yakin, berpegang teguh dengan agama Allah, dan
bertawakal yakni menyerahkan diri hanya kepadaNya.
Firman Allah :
“Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila
disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayatNya, bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka
bertawakal.” (al-Anfal:2)
Marilah kita contohi Rabiatul
Adawiyah, hamba Allah yang ikhlas mencintai Tuhannya . Dia memandang
segala-galanya adalah dari Allah. Pandangan hatinya hanya pada Allah, rindu dan
cintanya tertumpu hanya pada Allah. Dia ibarat musafir di dunia, berkelana
mengumpul bekal yang terbaik iaitu amal saleh semata-mata mengharap keredhaan
Allah. Destinasi pastinya adalah negeri akhirat tempat dia bertemu cinta
sejatinya. Alangkah indahnya muslimah sepertinya!
Rasulullah S.A.W bersabda :
“Perbandingan dunia dan akhirat itu laksana
perumpamaan seseorang di antara kalian yang memasukkan jari-jarinya ke dalam
lautan. Cuba perhatikan, apa yang dapat ia peroleh?”
(HR. Muslim)
LET'S BE A BETTER MUSLIMAH! INSYA-ALLAH..:)
No comments:
Post a Comment