Cerpen
ringkas ini ditulis bagi menyedarkan semua orang akan kepentingan Islam dengan
roh, sepenuh hati, kerana Allah.
Moga
perkongsian ini membuka minda dan hati semua untuk berubah ke arah yang lebih
baik. InsyaAllah.
Maryam mencelikkan
mata. Perlahan-lahan. Sayup-sayup kedengaran suara azan Subuh menandakan
masuknya waktu solat yang penuh dengan rahmat Allah itu.
“Aduh..kenapa
malas sangat rasanya nak bangun ni..” dia mengomel dalam hati. “Kalau tidur
balik, mesti payah nak bangun lagi..kalau tak tidur, macam rugi pulak..tidur
lagi sikit ah..mata ni ngantuk lagi..tapi mesti kena bangun solat Subuh..kalau tak dosa, masuk api
neraka..tak sanggup aku..”.
Matanya pun
dipejamkan semula. Menikmati keenakan tidur yang sementara di dunia, tanpa
terfikir akan impak melambatkan solat dan menarik selimut semula apabila sudah
mendengar azan Subuh.
Maryam tahu,
dalam hidup ini, dia memerlukan agama, dan syukur kepada Allah dalam jutaan
umat manusia dirinya termasuk dalam golongan yang dianugerahkan dengan nikmat
kurnia yang terbesar yakni Islam. Islam sejak lahir. Islam secara keturunan.
Tanpa perlu melalui pentarbiahan, peperangan, dan segala macam perkara yang
menguji jiwa untuk memeluk agama ini seperti yang dilalui oleh umat Islam pada
zaman Nabi dan Rasul terdahulu. Maryam tahu, dia beruntung. Sebab hanya orang
Islam sahaja yang selamat di akhirat kelak. Islam agama yang benar, agama suci.
Agama terindah. Tapi, tahu sahaja belum mencukupi. Bila tahu, tidak
semestinya faham. Tak semestinya
menjiwai. Benda yang mudah untuk didapati, atau memang sudah ada, pasti sukar
untuk dihargai.
Maryam
menunaikan solat Subuh pada jam 6.55 pagi- ‘subuh gajah’,istilah yang diberi
oleh orang tua bila solat Subuh pada hujung waktu. Dalam keadaan tergesa-gesa
mengerjakan solat, bacaan surah dilajukan, dalam hati berazam mahu habiskan
solat cepat, khusyuk entah ke mana, tak rasa pun Tuhan melihat solatnya, apatah
lagi dia ‘melihat’ Tuhan.
“Assalamualaikum warahmatullah..” Maryam
meraup muka, membaca tasbih, tahmid dan takbir 33 kali setiap satu dengan laju,
hanya di mulut. Dia sudah terbiasa dengan amalan yang diajar di sekolah rendah
agamanya dahulu setiap kali selesai amali solat iaitu zikir yang diwariskan
oleh Rasulullah melalui hadis. Cuma, zikir yang dibaca oleh Maryam tidak
disertai dengan hati.. dia lalu berdoa kepada Allah.
“Ya Allah,
Kau ampunkanlah dosa ibu,
ayah..dosaku..adik beradik, keluarga, saudara mara dan seluruh umat Islam..
berilah petunjuk kepada kami..bimbinglah kami.. Ya Allah, matikanlah kami
dengan husnul khatimah..berilah kami kesihatan dan rezeki yang
baik..sejahterakanlah hidup kami di dunia dan akhirat..” doa itu dipanjatkan
kepada Allah dengan tulus. Maryam tahu, hanya Allah sahaja yang boleh
mengabulkan doa. Pesanan Tok Wahid yang pernah mengajarnya mengaji Al-Quran
sewaktu kecil itu sentiasa terpahat kemas dalam ingatan.
“Mar, hari
ni kau pakai baju apa?”Dhia menyoal Maryam sambil tangannya ligat menempek
bedak asas ke muka. Maryam dengan bersemangat mengeluarkan baju lengan panjang
berwarna merah yang baru dibelinya dua hari sebelum itu, sehelai jeans dan
tudung berwarna krim.
Maryam
bersuara “Ni..ok tak..? Kau tengok
laa..” Perincian baju itu ringkas, namun menarik dengan corak abstrak di
bahagian dada, membuatkan Dhia tersenyum lebar.
“Weh..cantik
seyh baju kau..berapa ringgit kau beli ni..”
“Dalam 75
ringgit..tapi ada diskaun 20%..rugi kau tak ikut aku gi shopping hari tu..hehe”
“Huh..aku
mana ada duit nak belanja suka-suka hati..nanti bila ayah aku bagi duit boleh
la kita gi shopping sama-sama k Mar?”
“Yela..cepat
la siap..nanti lambat gi kelas..”
Maryam
menyapu bedak di pipi, mengoles lip gloss berwarna merah jambu ke bibir,
mengenakan maskara bagi melentikkan bulu mata, dan memakai celak. Semuanya dilakukan
dengan penuh cermat agar solekan di wajahnya tampak kemas dan menarik. Setelah
berpuas hati, barulah dia memakai selendang dengan hujung selendang itu
dililit-lilit dan dipinkan di atas kepala, tidak menutupi bahagian dada. Wajah
Maryam yang cantik kelihatan semakin berseri. Dalam hatinya berkata “cantik
jugak aku ni..mesti ramai orang minat nanti..hehe” Maryam dan Dhia yang
mengambil jurusan perakaunan di salah sebuah universiti tempatan itu sama-sama
bergerak menuju ke fakulti. Setibanya di kelas, hampir kesemua mata rakan-rakan
lelaki tertumpu kearah Maryam.
“Mar..cantiknye
kau hari ni..tergoda aku..” Firdaus memuji Maryam sambil mengenyitkan mata.
“Ee..apehal
kau ni..” balas Maryam sambil menjuihkan bibirnya. Biarpun pada zahirnya dia
menyatakan tidak suka, dalam hatinya berbunga. Kembang bila dikatakan cantik.
“Ey, Daus!
Maryam tak suka kat kau la. Jangan nak perasan..” Dhia menyampuk.
Pelajar
lelaki yang lain hanya tersengih. Mereka tidak berani untuk mengusik Maryam
seperti Firdaus yang memang kurang perasaan malu. Hanya memuja Maryam dalam
hati, dari jauh. Namun semua itu sudah cukup untuk menambahkan saham dosa
masing-masing.
Selesai
kuliah untuk hari itu, Maryam dan Dhia telah punya rencana untuk makan di kafetaria berdekatan. Jalan sesak
dengan pelajar. Sedang asyik bercerita
sambil berjalan, Maryam terlanggar orang di hadapannya dan ditambah dengan memakai kasut ‘wedges’ yang tumitnya agak tinggi,
Maryam hilang keseimbangan lalu
terjatuh. Orang yang dilanggarnya tadi terhenti dan berpusing melihat Maryam.
“Aduh..!
Dhia..malunye aku..” Maryam bangun perlahan-perlahan sambil dibantu Dhia. Dhia
menunjukkan ekspresi muka kasihan sambil cuba sedaya upaya menahan gelak.
“Awak tak
apa-apa ke?” soal Ustazah Durrah, pensyarah fakulti pengajian Islam di universiti
itu- orang yang dilanggar oleh Maryam.
Maryam terkejut. “Aku langgar
lecturer..ustazah pulak tu..aduyai..” rungutnya dalam hati. Dia pernah
mengikuti bengkel menguruskan jenazah di mana ustazah itu adalah salah seorang
fasilitatornya. Tapi, mereka tidak pernah bertegur sapa.
“Err..saya ok..saya minta maaf
ustazah..terlanggar tadi..” balas Maryam. Mukanya merah menahan sakit kaki
sekaligus perasaan malu mengenangkan begitu ramai orang yang melihatnya jatuh
tadi.
“Hmm..tak
apa..jalan baik-baik ye lain kali..awak dari fakulti mana ni..?”
“Akaun. Ok
Ustazah..saya minta maaf lagi sekali..” ucap Maryam sambil menghulurkan tangan ke
arah Ustazah Durrah. Huluran tangannya bersambut. Ustazah Durrah tersenyum
mesra.
“Ok, kalau
ada apa-apa hal nanti contact ustazah ye..” ucapnya sambil menghulurkan
sekeping kad. Entah kenapa, dia merasakan perlu untuk memberi maklumat tentang
dirinya kepada pelajar itu.
“InsyaAllah. Terima kasih Ustazah..” balas Maryam.
Maryam
meneliti kad yang diberi oleh Ustazah tadi.
Durratul Ulya Bt Abdul Manaf
Pensyarah Jabatan Pengajian Islam
0156778901
“Apasal dia
bagi kad ni kat kau ek Mar?” soal Dhia ingin tahu.
“Entah..aku
pun pelik..dia suka kat aku kot..haha.” Maryam cuba menghilangkan tanda tanya itu
dengan berseloroh.
“Tapi kan Dhia..aku suka tengok ustazah
tu..sweet je muka dia..orang baik-baik ni muka diorang memang berseri kan..”
“A’ah..muka
kau tu je yang berseri sebab make-up..” Dhia membalas. Laser.
“E’eleh..kau
pun sama nak mengata orang..” balas Maryam. Geram dengan mulut kawannya itu.
“Hihi..sori
Mar..gurau pun nak marah ke..dah la jatuh tadi..kau ni memang suka buat ‘scene’
la..hahaha..” Dhia mengalih topik sambil melakonkan semula adegan Maryam
terjatuh.
Maryam tidak
berdaya untuk menahan tawa lalu ketawa berdekah-dekah sambil mengejar Dhia yang
lari di sekeliling meja kafeteria, mengundang perhatian pelajar di situ.
“ Perasaan
malu bagi perempuan akan mudah luput jika tidak disemaikan iman dan taqwa dalam
hati..” getus hati Ustazah Durrah yang menyaksikan aksi Maryam dan Dhia
berkejaran dari ruangan kafeteria untuk pensyarah. “Ya Allah, kau berilah
hidayah buat pelajar-pelajarku..”
TO BE CONTINUED...
No comments:
Post a Comment